Jumaat, 22 Julai 2011

Pesanan Dari Klinik Bidan Buat Ibu Mengandung

2 hari lepas, saya singgah ke klinik desa. Singgah kerana tak sedap badan. Sedang menunggu giliran, sempat saya bersembang dengan bidan yang sedikit ramah kerana marah:)

Tujuan saya nak redakan 'kemarahannya' yang mengakibatkan bebelan yang berpotensi menggangu ketenteraman awam.

Setelah berbual dan reda emosinya, barulah saya tahu-dia membebel dengan fakta. (Mumbling with attitude, hehehe...)

Seriusnya leteran itu berpunca dari kelewatan seorang ibu mengandung datang merujuk doktor.

Biasalah tu kak...
Saya menjawab sekadar untuk menenangkannya. Namun, sebagai seorang yang tidak memahami hal berkaitan perubatan, saya akur(dan terima) tempias berfaktanya.

Sebelum ini,saya menganggap keadaan letih, pucat, pening, kebas anggota badan dan mengah seorang ibu mengandung (termasuk isteri saya) adalah normal.

Namun sebenarnya tidak kerana ia petanda Anemia.

Tanda-tanda Anemia
Tanda-tandanya adalah puan (dalam keadaan mengandung) mengalami simptom berikut:-
  1. Pucat
  2. Kerap rasa letih lesu dan tidak boleh melakukan kerja rumah yang biasa.
  3. Rasa mahu pitam bila bangun dari duduk,baring,atau tidur.
  4. Muka dan kaki membengkak.
  5. Sentiasa pening.
  6. Tangan dan kaki berasa kebas.
  7. Mengah, dan berdebar-debar
Anemia?
Anemia merujuk kepada keadaan kurang darah. Ia akibat kurangnya zat besi.Hal ini menyebabkan kepekatan darah merah kurang dari biasa.

Darah pengidap mempunyai kelikatan hanya atau kurang dari 11 gram % haemoglobin.

Punca Anemia
Kurangnya zat besi dalam gizi diet ibu mengandung. Puncanya juga melibatkan ibu yang berdepan keadaan berikut:-
  1. Kurang makanan yang mengandungi zat besi, protein, asid folik dan vitamin.
  2. Ibu yang acap bersalin.
  3. Kehilangan darah dalam kuantiti yang banyak seperti darah haid yang banyak, keguguran yang kerap, 
  4. Jangkitan saluran kencing,penyakit berkaitan limpa, demam malaria dan barah.
  5. Jangkitan cacing
Kesan Anemia segera!
Segera ke klinik sebaik saja puan mengalami tanda-tanda mengandung. Pihak Jabatan Kesihatan Malaysia mempunyai prosedur yang berkesan dalam menghadapi anemia, terutamanya pada peringkat awal.

Risiko: jika lambat rujuk pakar
Akibat yang tragis berlaku apabila Anemia tidak diambil berat. Keadaan berikut dikhuatiri berlaku kepada pengidapnya:-
  1. Keguguran.
  2. Potensi tinggi untuk melahir bayi tidak cukup bulan.
  3. Anak mati dalam kandungan.
  4. Bayi dilahirkan dengan berat tidak normal.
  5. Mudah mendapat jangkitan penyakit.
  6. pengeluaran susu badan berkurangan.
  7. Tumpah darah semasa bersalin.
Tingkatkan penyerapan Zat Besi puan hari ini
Terdapat beberapa cara yang puan boleh amalkan. Kaedah yang disarankan adalah seperti berikut:-
  • Makan sumber haiwan dan makanan laut minima 4 kali seminggu.
  • Pilih buah-buahan yang kaya Vitamin C
  • Elakkan minum kopi dan teh bersama hidangan makanan.
  • Masak sayur bersama dengan perencah asli ikan bilis, udang, sotong, telur atau hati.
  • Lebihkan kekacang dan sayur hijau.
  • Minum susu minima 2 gelas sehari.
  • Pilih makanan yang kaya zat besi (seperti makanan dari sumber haiwan dan sumber laut dan telur ayam)
  • Daging tanpa lemak, ayam tanpa kulit dan ikan digalakkan kepada ibu mengandung, yang disahkan doktor berisiko mendapat penyakit jantung; atau berat badan bertambah.
  • Dapatkan rawatan awal dari klinik terdekat apabila ada tanda kurang darah.
  • Rehat yang cukup.
  • Jaga kebersihan diri untuk mengelakkan jangkitan penyakit.
  • Ambil supplemen yang disaran doktor seperti vitamin (zat besi, asid folik, Vitamin C dan B kompleks) yang dibekalkan klinik.
Bagaimana saiz 1 hidangan yang kaya zat besi?
Saiz 1 hidangan adalah disarankan setiap kali puan menjamah makanan dalam 1 sesi.(1 sesi merujuk kepada sarapan, makan tengahari dan makan malam)

Saiz sehidangan
Menu Saiz Sehidangan
Daging2 keping saiz kotak mancis
Ayam1 ketul paha
Hati ayam1 ketul (2 lobus) 
Hati lembu2 keping saiz kotak mancis
Kerang20 biji
Ikan1 ekor saiz sederhana

Amalan terbaik
Sebagai seorang ibu yang bertanggungjawab, puan boleh biasakan dan amalkan saranan doktor terutamanya berkenaan pemakanan, supplemen dan rehat

Letih dengan aktiviti biasa di rumah? Puan perlu elakkan aktiviti berat kerana pada ketika ini puan adalah sumber khasiat kepada bayi comel dalam kandungan puan. Jaga diri demi si comel puan:)

Lengkap maklumat yang dibualkan ( saya anggap ia sedikit leteran:) dari jururawat (bidan) berkenaan. Percayalah, cara ini (sedikit bebelan) lebih berkesan dari pembacaan!!

p.s: Saya percaya, bersungguh dalam berbual (dianggap berleter) pada tempat dan situasi yang betul (dan pada perkara yang berfaedah pula) tidak menjengkelkan. Ia  berinformatf dan amat berkesan pada insan yang mahu menerima:).

0 Komen:

Catat Ulasan

gegaranasmara.com
 
^ Naik ke Atas